Monday 6 May 2019

Ramadhan Kita #1

Bismillah. 
Selepas dua tahun tidak pulang ke tanah air untuk menyambut Ramadhan bersama ibu bapa tercinta. Alhamdulillah tahun ini berpeluang untuk berada di samping keluarga walaupun sekejap sahaja kerana pulang pada minggu ulang kaji pelajaran.

Namun, apa-apa pun bersyukur kepada Allah atas niat yang diberikan. 

Alhamdulillah hari pertama berjalan dengan lancar. Seawal pagi, saya senaraikan semua perkara yang hendak dilakukan di dalam planner seperti Tadaruss Al-Quran, Tadabbur Al-Quran, mengulangkaji pelajaran dan memasak serta banyak lagi. 

Memandangkan sekarang ini adalah musim peperiksaan akhir di Institut Perguruan, saya perlu membahagikan masa sebaiknya untuk melakukan semua perkara. 

Sayang sekali kalau kita mahu fokus kepada satu-satu perkara sahaja sepanjang bulan Ramadhan ini kerana bulan ini penuh dengar baraqah dan nikmat yang terhitung sekali.

Tapi, kalau nak capai semua perkara, amatlah mustahil dan memerlukan begitu banyak pengorbanan.

Jadi, perancangan itu sedikit sebanyak membantu saya menjadikan hari pertama Ramadhan berjalan dengan lancar.

Cuma, tidak dinafikan tiba-tiba saya ada terdetik "Kenapalah final exam dibuat pada bulan Ramadhan? Penatnya rasa". Rasa penat sangat. Malas pun ada.

Sepertinya rasa mahu membaca Al-Quran sahaja. Tidak mahu menyesakkan kepala dengan nota-nota pentaksiran, teknologi dan sebagainya. 

Sedang saya membuka akaun instagram, mata saya terhenti di post Ramadhan pertama tahun lepas mengenai teguran syeikhah terhadap saya. 

Waktu itu, saya mempunyai kelas mengaji dengan syeikhah. Namun, disebabkan keesokannya saya mempunyai peperiksaan akhir bagi semester terakhir, saya banyak mengelamun. 

Syeikhah tahu akan kerisauan saya. Lalu, dia bertanya untuk memastikan "Hanifah, kau hilang fokus hari ni. Kau risau tentang peperiksaan esok hari ke? Kau penat ke?"

Tanpa sempat membalasnya, syeikhah itu pesan "Hanifah, jangan rasa penat. Jangan cepat putus asa. Jangan risau. Banyakkan berdoa. Bulan ini bulan yang penuh rahmat. Berdoalah kepadanya agar Allah permudahkan urusan kau. Hanifah, untung kamu kerana kamu mempunyai peperiksaan akhir di bulan Ramadhan. Kamu tahu kenapa? "

Saya menggeleng kepala.

"Kerana usaha kau dalam mempersiapkan diri untuk peperiksaan pun dikira ibadah. Malah, berganda-ganda pahala kau. banyakkan berdoa dan terus yakin kepada Allah ya. sekarang ini, fokus kepada Al-Quran. Jangan risau. Orang yang menjaga Al-Quran akan dijaga oleh Allah", sambungnya.

Ayat "Orang yang menjaga Al-Quran akan dijaga oleh Allah" masih terngiang-ngiang di kepala saya sehingga hari ni. 

Semoga Allah jadikan aku seorang yang betul-betul menjaga Al-Quran dan semoga Allah menjadikan aku seorang yang tidak berputus asa dengan rahmat Allah dan sentiasa yakin dengan Allah. 

dan semoga kita saling mendoakan kesejahteraan antara satu sama lain :)



Apa khabar agaknya ramadhan di Jordan ya?